BAB 1
“Esok pagi-pagi lagi kita akan bertolak ke rumah agam Tok Wan. Jadi, malam ni ayah nak Alyssa dan Aryssa kemas baju dan barang-barang lain yang hendak di bawa. Ayah tak nak nanti bila kita nak gerak sahaja adalah yang masih terhegeh-hegeh,” beritahu Dato’ Sufian dengan tegas.Membuntang mata Aryssa sambil memandang ke arah Dato’ Sufian. Dia mana ada masa untuk ke sana! Pagi-pagi lagi Aryssa telah bercadang untuk ke perpustakaan bagi menyiapkan tugasan-tugasannya yang telah lama tertangguh. Ada-ada ajelah, rungutnya dalam hati. Dengan satu tarikan nafas yang panjang, Aryssa cuba memberanikan dirinya untuk menolak ajakkan ayahnya yang langsung tak kena masa dan tempat.
“Ayah, Ryss minta maaf. Tapi, esok Ryss tak boleh nak ikut! Ryssa dah rancang nak..” Belum sempat Aryssa menghabiskan kata-katanya, tiba-tiba Dato’ Sufian terus menghentak meja makan dengan kuat. Masing-masing terkedu dengan tindakan Dato’ Sufian. Aryssa tertunduk ke bawah tatkala merasakan pandangan mata Dato’ Sufian yang terlalu tajam terhadapnya.
Tanpa menunggu lebih lama, Dato’ Sufian bangun lalu bergegas keluar tanpa meninggalkan sepatah kata. Datin Aina yang sejak tadi mendiamkan diri turut bangun sambil membawa beg bimbit suaminya.
“Kau ni, Ryss. Tak faham-faham lagi ke dengan perangai ayah tuh. Lain kali ikut ajelah apa yang dia suruh. Tak habis-habis buat ayah marah,” bebel Alyssa yang merupakan kakak kembarnya. Kelahiran mereka hanya berbeza 2 minit sahaja. Namun, personaliti dan perwatakan mereka agak berbeza sehinggakan ada yang tidak percaya ketika mengetahui mereka adalah saudara kembar.
Aryssa tidak menjawab. Nasi goreng di pinggannYA tidak dihabiskan. Beg tangannya dicapai lalu dengan pantas langkahnya diatur menuju ke luar. Aryssa sedikit terasa dengan sikap Alyssa yang langsung tidak membantu menenangkannya malah semakin menyakitkan hatinya adalah! Sejak kecil lagi sememangnya mereka tidak pernah serasi antara satu sama lain. Aryssa sendiri tidak pasti apakah punca mereka tidak pernah ‘ngam’. Mungkinkah sebab wajah mereka yang agak berbeza?
Aryssa sempat melemparkan segaris senyuman ke arah pemandu barunya, Aiman. Namun, lelaki itu hanya membalas dengan jelingan yang tajam. Sombong! Getusnya dalam hati.
“Cik Aryssa nak saya jemput pukul berapa hari ni?” Soal Aiman perlahan. Sesekali dia memandang ke cermin kereta belakang untuk melihat Aryssa yang sejak tadi tak habis-habis menyapu bedak kompek di wajahnya.
“Pukul 6.00 petang. Depan perpustakaan, ye. Macam biasa.”
“Baiklah,” balas Aiman tanpa banyak soal. Bukan bidang tugasnya untuk menjadi penyiasat ‘tak rasmi’ anak majikannya itu untuk bertanya lebih daripada jawapan yang diberikan.
Setelah kereta yang dipandu Aiman meluncur pergi setelah meninggalkannya di hadapan tempat menunggu bas, Fiza terus menyerbunya sambil tersengih-sengih. Adalah modalnya nak mengusik tuh, bisik Aryssa dalam hati.
“Siapa mamat tuh? Kacak betul! Kenalkanlah dekat aku.”
“Entahlah, Fiza. Aku sendiri pun tak kenal sangat sebab dia pemandu baru. Kalau tak silap dia mula kerja minggu lepas.”
“Kedekut! Setakat aku minta nombor telefon dia pun kau tak nak beri. Nak simpan sorang-sorang ajelah tuh,” usik Fiza dengan senyuman nakal mula terukir di bibirnya.
“Dah! Kelas nak mula sekejap lagi. Lebih baik kita gerak cepat,” marah Aryssa. Dia kurang gemar sekiranya terlewat masuk ke dalam kuliah biarpun ada antara pensyarah yang mengajarnya tidak berapa kisah akan hal tersebut.
Sebaik sahaja kelasnya tamat, Aryssa terus bergegas ke perpustakaan bagi mendapatkan tempat yang lebih strategi. Dia perlu membereskan tugasan-tugasan yang telah diberikan oleh pensyarahnya kerana keesokkan harinya dia perlu ke rumah agam Tok Wan dan minggu depan merupakan minggu untuk ulang kaji pelajaran sebelum peperiksaan bermula. Silapnya juga kerana bermalas-malasan dalam menyiapkan tugasan yang telah lama diberi. Tiba-tiba Aryssa merasakan begitu cepat masa berlalu. Sedar tak sedar, dia kini sudah berada di tahun akhir pengajiannya di sebuah universiti tempatan.
Aryssa tidak sedar yang hari sudah semakin menghampiri senja. Disebabkan Aryssa datang bulan, jadi tidak menjadi masalah kepadanya untuk duduk di situ lama-lama. Bunyi nada dering handphonenya benar-benar membuatkan pensil yang sedang di pegang oleh Aryssa hampir terlepas. Kelam-kabut dia mengmabil pensil di bawah meja sambil tangannya yang sebelah lagi memegang handphone untuk menjawab panggilan tersebut.
“Hello.”
“Cik Aryssa dekat mana sekarang ni? Saya dah lama tunggu nih!” Begitu keras kedengaran suara Aiman di talian ketika ini. Berkerut-kerut dahi Aryssa sambil meneliti skrin di handphonenya.
“Err… Sorry, Aiman. Saya tak perasan hari dah nak malam. 5 minit lagi saya sampai, ye.” Tergesa-gesa Aryssa mengemas buku-buku yang berterabur di atas meja. Komputer riba dimatikannya lalu dicabut plug pengecas. Baru Aryssa perasan, Fiza yang duduk di hadapannya juga telah lama pulang.
“Bukannya nak beritahu,” rungutnya perlahan. Kakinya semakin laju melangkah tatkala terbayangkan wajah menyinga Aiman. Bukan dia tidak pernah dimarahi oleh lelaki itu sebelum ini. Pernah sahaja tetapi Aryssa tidak mahu terlalu ambil hati. Kalau boleh, dia mahu berbaik-baik dengan Aiman yang akan lama bekerja dengan keluarganya. Pekerja yang sebelum ini berhenti disebabkan tidak tahan dengan sikap baran Dato’ Sufian. Nasib baiklah Alyssa bukan begitu. Nampak sahaja tegas namun hakikatnya dia seorang yang lemah-lembut.
Dari jauh Aryssa sudah nampak kereta Honda Civic berwarna hitam di parking tepi jalan. Aiman pula sedang bersandar di tepi kereta sambil meneguk air tin. Mata mereka mula bertembung. Aryssa mula berdebar-debar. Takut juga sekiranya dia naik angin sekali lagi. Ketika Aryssa ingin membuka pintu kereta, Aiman menghulurkannya setin air milo sambil memandang ke tempat lain.
“Terima kasih,” ucap Aryssa perlahan. Bibirnya mula mengukir senyuman. Tersentuh seketika hati perempuannya dengan sikap prihatin Aiman yang kadang kala agak menjengkelkan.
“Kebetulan saya beli lebih tadi. Kalau tak, untuk cik Aryssa memang tak adalalah,” jawabnya sinis.
‘Tak boleh dibawa bergurau betullah mamat ni!’ Gumamnya dalam hati.
Sebaik kereta Honda Civic memasuki perkarangan rumah, kelihatan Dato’ Sufian dan Datin Aina sedang memasukkan beg baju ke dalam bonet kereta dengan dibantu oleh pembantu rumah, Mak Mah. Alyssa pula sedang leka bermain game di handphonenya. Berkerut-kerut dahi Aryssa seketika.
“Nak ke mana kelam-kabut sangat nih, ma?” Tanya Aryssa terhadap Datin Aina. Matanya kelihatan sedikit membengkak seolah-olah baru lepas menangis.
“Tok Wan kamu tengah nazak.” Jawapan itu cukup membuatkan Aryssa berasa sedikit gementar. Apa yang paling ditakuti dalam hidupnya pasti akan berlaku dalam keluarga mereka tidak lama lagi. Perlahan-lahan Aryssa mula membayangkan kehidupan yang bakal dilaluinya nanti. Penuh dengan liku-liku!
No comments:
Post a Comment